BERITA

Negara perlu guru berdaya kreatif : Najib


SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak malam tadi berkata, negara memerlukan warga pendidik yang memiliki daya kreativiti selain komitmen dan dedikasi terhadap profesion perguruan.

Dalam era globalisasi ini, katanya, golongan guru perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya anak murid mereka tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran. Berucap merasmikan Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 (KOGUM) di sini, Najib menegaskan sekiranya guru ingin mengajar kemahiran berfikir maka mereka juga mesti tahu cara berfikir.
"Kita tidak mahu anak-anak kita menghafal atau rote learning," katanya.
Najib berkata negara mahukan murid-murid di negara ini boleh berfikir secara kreatif dan boleh membuat rumusan menerusi pemikiran lebih daripada penghafalan.

Beliau berkata, guru-guru juga perlu mempunyai kebolehan pelbagai kemahiran misalnya guru subjek Kesusasteraan Inggeris juga memerlukan kemahiran penguasaan bahasa Malaysia untuk memberi pengajaran yang lebih berkesan.

Katanya, warga guru juga perlu mempunyai komitmen di dalam menjalankan amanah mereka terutamanya dalam mengotakan janji untuk sanggup berkhidmat di kawasan pedalaman.
Beliau mengimbas kembali karenah guru yang tidak sanggup berkhidmat dalam tempoh masa yang lama di kawasan pedalaman semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran satu ketika dahulu.

Katanya, sebenarnya Malaysia bukan kekurangan guru tetapi terdapat ketidakseimbangan di mana lebih ramai guru di bandar daripada di luar bandar.

Oleh itu, beliau berkata, jika para guru ada semangat perjuangan, mereka akan sanggup berkorban.

Najib berkata, jasa guru kepada negara adalah hebat selain daripada mempelopori perjuangan kemerdekaan, mereka juga meniti kemerdekaan dan sebagai agen mobiliti sosial.

Menerusi pendidikan, Malaysia berjaya membebaskan sesebuah keluarga daripada kemiskinan dalam peringkat satu generasi sahaja dan perkara ini agak sukar disaksikan di negara membangun mahupun di negara maju seperti United Kingdom.

Pada majlis itu, Najib melancarkan KOGUM 2011, Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia, dan portal pendidikan SKOR Ai-Teacher.

Sumber:Utusan Online




Guru muda perlu bimbing masyarakat hargai perjuangan - TPM


SHAH ALAM 10 Julai — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah penting bagi guru-guru muda selaku pembimbing masyarakat untuk bukan sahaja memahami tetapi mendukung cita-cita hasil perjuangan nenek moyang dalam mendapatkan kemerdekaan.

Katanya, ini amat penting supaya apa yang dibina dan dinikmati oleh keluarga besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama seperti kemajuan, keamanan dan perpaduan hasil titik peluh dan penat lelah mereka yang terdahulu tidak dapat dirosakkan oleh pihak tertentu dengan mudah.

"Saya percaya kita harus bangkit dan bangun dan pertahankan prinsip-prinsip pokok, jangan dirungkai hingga terburai kerana kalau hendak dibangunkan semula adalah amat sukar,” katanya semasa berucap pada majlis penutup Konvensyen Guru-guru Muda (KOGUM) 2011 yang bermula Jumaat lepas.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, rakyat Malaysia yang telah mengecap 54 tahun kemerdekaan dan dilimpahi keamanan dan kemakmuran ingin menikmati kemajuan itu tetapi malangnya ada pihak yang ingin merosakkan dan menghancurkan impian itu dengan menganjurkan perhimpunan haram.



Sumber:Utusan Online





Sambutan kemerdekaan serentak pada 16 September


KUALA LUMPUR 16 Julai - Sambutan Kemerdekaan ke-54 negara ditunda kepada 16 Sept, serentak dengan sambutan Hari Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata keputusan itu dibuat berikutan tarikh kemerdekaan jatuh pada penghujung Ramadan.

"Jawatankuasa Bulan Kemerdekaan membuat keputusan (16 Sept) sesuai berikutan ia adalah juga tarikh Hari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keceriaan Bulan Kemerdekaan 2011 di sini, hari ini.


Sumber:Utusan Online



Jawatankuasa pantau pindaan Seksyen 15 AUKU

PUTRAJAYA 6 Dis. - Kementerian Pengajian Tinggi akan mewujudkan satu jawatankuasa untuk membuat draf berhubung keputusan kerajaan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menyertai politik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya pelajar berumur 21 tahun ke atas sahaja boleh menyertai parti politik di luar kampus.

Menurutnya, kementerian mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut demi kebaikan bersama dan ia juga menepati hasrat dan matlamat pendidikan yang perlu dicapai pelajar universti di dalam negara.

"Dengan perubahan tersebut, ia tidak bermakna semua fasal yang berkaitan Seksyen 15 AUKU akan diubah, kita akan meneliti secara serius dan mendalam melalui jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti.

"Perubahan ini juga bukan sahaja termaktub kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) malah ia meliputi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan juga politeknik,' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled merasmikan Program Latihan Graduan Industri Tinggi (HEIGIP).



Sumber:Utusan Online



5,000 lepasan ijazah pendidikan diambil jadi guru

BATU PAHAT 5 Dis. - Kira-kira 5,000 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan diambil bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah menengah di bawah Kementerian Pelajaran, mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,894 lepasan ISMP ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk diserap masuk sebagai guru.

Menurut beliau, pengambilan guru dalam kalangan ISMP keluaran IPTA pada tahun depan menunjukkan peningkatan berbanding jumlah 4,318 golongan itu yang dipilih menjadi guru pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan graduan ISMP 'dianaktirikan' dalam pemilihan guru di sekolah di bawah kementerian itu, sebaliknya menjelaskan, pengambilan dibuat berdasarkan kelayakan dan pilihan bersesuaian.

Katanya, antara kegagalan graduan ISMP dipilih untuk menjadi guru adalah kerana penuntut itu mengambil opsyen mata pelajaran yang kurang diperlukan Kementerian Pelajaran.

"Sebenarnya, kita sudah mewujudkan jawatankuasa bersama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membincangkan dari segi unjuran iaitu berapa keperluan guru sekolah menengah mengikut opsyen yang diperlukan.

"Unjuran ini dibahagikan antara universiti. Misalnya, jika diperlukan 300 opsyen matematik, ia akan dibahagikan antara IPTA. Jadi, jika mereka menawarkan mengikut opsyen, sepatutnya tidak timbul masalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan Ahli Parlimen Batu Pahat dan Menteri Besar Johor sebanyak RM500,000 bagi membina bangunan baru Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kira-kira 5,000 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meminta agar Kementerian Pelajaran tidak menawarkan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan lepasan ijazah bukan pendidikan.

Mereka turut meminta agar kerajaan tidak menjadikan mereka seperti 'anak tiri' berbanding lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, isu 'anak tiri' tidak timbul kerana lepasan IPG hanya akan diserap sebagai guru di sekolah rendah manakala graduan ISMP keluaran IPTA yang berkelayakan dipilih sebagai guru sekolah menengah, sekali gus mengelakkan persaingan antara kedua-duanya.

"Untuk IPG, sebelum masuk mereka akan disaring dan kita (Kementerian Pelajaran) akan panggil untuk ditemuduga. Yang ditemuduga itu pun belum tentu semua dapat, sebaliknya yang terpilih sahaja akan masuk IPG.

"Tetapi yang masuk universiti ini, dia mohon masuk bidang pendidikan, kemudian bila nak mohon jadi guru baru ditemuduga oleh SPP," katanya.

Sumber:Utusan Online



7,508 tempat latih GSTT dirancang disediakan mulai 2012


KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kementerian Pelajaran merancang untuk menyediakan 7,508 tempat bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk dilatih di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah-Sekolah Rendah, Kursus Perguruan Lepasan SPM dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata, sehingga 18 Ogos tahun ini seramai 7,920 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan daripada jumlah itu, seramai 1,143 orang sedang mengikuti kursus dalam cuti.

"Manakala 862 yang ditawarkan tidak melapor diri untuk bertugas dan semua lantikan memenuhi syarat asas kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah sehingga 30 September tahun ini seramai 516 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan selebihnya akan ditawarkan terus mengikuti latihan di institut pendidikan guru (IPG) mulai Januari tahun depan.

Katanya, seramai 1,258 orang GSTT kini mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah mod Kursus Dalam Cuti dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod Kursus Dalam Cuti di IPG seluruh negara. – Bernama



Sumber:Utusan Online



25 kertas kerja dibentang pada Seminar Jiwa Pendidik

JOHOR BAHRU 2 Ogos - Sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan pada Seminar Jiwa Pendidik 2011 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di sini, baru-baru ini.

Seminar selama tiga hari bertemakan Penyelidikan Melestarikan Guru Bestari itu anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTI bersama Institut Pendidikan Guru (IPG) Zon Selatan.

Selain IPGKTI, beberapa peserta daripada IPG lain turut mengambil bahagian, antaranya IPG Kampus Tun Hussein Onn, IPG Perempuan Melayu Melaka dan IPG Raja Melewar, Negeri Sembilan.

Ia turut disertai peserta dari Kolej Matrikulasi Teknikal Johor; Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur; Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Putrajaya; SK Jeram, Masjid Merah, Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian.

Antara tajuk kertas kerja yang dibentangkan adalah Kepentingan Ilmu Bersepadu Dalam Membina Akhlak Pelajar, Sikap Murid Sekolah Rendah Terhadap Sains Di Beberapa Buah Negeri di Malaysia dan Pendekatan Akhlak Islamiah Dalam Pengajaran Pendidikan Islam di Malaysia.

Perasmian seminar yang julung kali diadakan itu disempurnakan Rektor IPG Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan.

Haili dalam ucapannya berkata, pertemuan para intelek dalam seminar seumpama itu mampu mencetuskan perkembangan baru dalam bidang pendidikan seterusnya membantu Kementerian Pelajaran mencapai wawasan Pendidikan Bertaraf Dunia.
Sumber:Utusan Online


IPG Sukan KPM bakal ubah senario sukan di sekolah

PADA 15 Oktober yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah melancarkan IPG Sukan bertempat di IPG Kampus Raja Melewar Seremban.

Dua IPG lain ialah IPG Kampus Perlis dan IPG Kampus Tun Abdul Razak yang merupakan fasa pertama IPG Sukan ini oleh kerana ada tiga lagi IPG yang telah dikenal pasti sebelum ini akan dilaksanakan kemudian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama, Mohamad Hasan juga hadir di majlis berkenaan.

Kalau kita masih ingat bahawa Menteri Pelajaran telah mengumumkan betapa perlunya ditubuhkan IPG Sukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika beliau merasmikan Kejohanan Olahraga Kebangsaan MSSM pada bulan Mei 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Walaupun ada pihak yang menyifatkan tempoh dua tahun yang diambil sehingga terlancarnya IPG sukan ini adalah dikira lama tetapi kita patut bersyukur kerana ia dapat direalisasikan juga.

Sebenarnya idea dan cadangan mewujudkan sebuah maktab ataupun institusi dalam KPM yang dapat melatih dan melahirkan jurulatih sukan untuk sekolah telah lama diperkatakan.

Saya telah menghadiri beberapa perbincangan mengenai perkara ini diawal tahun 90-an tetapi perbincangan tersebut hanya setakat perbincangan sahaja. Tidak lebih dari itu.

Kita semua tahu terdapat lebih kurang 10,000 buah sekolah dan seramai 5.4 juta orang murid di bawah kendalian KPM.

Kalau setiap sekolah memerlukan seorang jurulatih sukan maka KPM perlu melatih 10,000 orang jurulatih.

Kalau setiap sekolah memerlukan lima guru yang mempunyai pengetahuan dan kebolehan melatih acara sukan maka KPM memerlukan 50,000 orang jurulatih.

Ini tidak termasuk keperluan melatih pegawai teknik sukan untuk mengendalikan sekurang - kurangnya sebanyak 24 jenis sukan yang dipertandingkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah -Sekolah Malaysia (MSSM). Kalau diambil kira kursus- kursus ulang kaji yang perlu diadakan setiap masa bagi jurulatih dan pegawai teknik sudah tentulah IPG ini tidak cukup tangan.

Sumber:Utusan Online


Pupuk budaya penyelidikan


JOHOR BAHRU 21 Julai - Bidang penyelidikan seharusnya diberi penekanan sewajarnya dalam bidang pendidikan di negara ini kerana ia bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada pendidik malah kepada masyarakat.

Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan berkata, seluruh warga pendidik khususnya yang berada di IPG perlu meningkatkan budaya penyelidikan dalam kerjaya masing-masing kerana ia mampu meningkatkan integriti dan kredibiliti mereka seterusnya memartabatkan lagi profesion perguruan.

"Kita tidak mahu warga pendidik hanya menumpu perhatian untuk mengajar anak murid, sebaliknya mereka perlu menyumbang sesuatu kepada negara melalui bidang penyelidikan.

"Ini kerana cintakan ilmu, dahagakan pengetahuan dan belajar sepanjang hayat merupakan sifat yang harus ada pada diri setiap warga pendidik," katanya ketika berucap sempena Seminar Jiwa Penyelidik di IPG Kampus Temengggong Ibrahim (IPGKTI) di sini semalam.

Turut hadir Pengarah IPGKTI, Mohd. Said Hasran.

Mengulas mengenai seminar tersebut beliau berkata, pertemuan para intelek dalam seminar yang pertama kali diadakan itu mampu mencetuskan perkembangan baru dalam bidang pendidikan seterusnya membantu Kementerian Pelajaran mencapai wawasan 'Pendidikan Bertaraf Dunia'.

Seminar bertemakan 'Penyelidikan Melestarikan Guru Bestari' adalah anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTI bersama IPG Zon Selatan.

Seminar selama tiga hari bermula hari ini antara lain melibatkan pembentangan 25 kertas kerja oleh warga pendidik dan pensyarah dari institut berkenaan.

Sumber:Utusan Online




154 guru agama Johor ikuti KPLI 18 bulan


JOHOR BAHRU 15 Jun - Seramai 154 guru sekolah menengah agama kerajaan negeri terpilih mengikuti latihan ikhtisas perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggung Ibrahim pada pengambilan Jun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Elias Hasran berkata, kumpulan guru tersebut akan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dalam tempoh 18 bulan.

Menurutnya, apabila tamat pengajian yang dijalankan pada cuti persekolahan, ia membolehkan mereka memiliki Diploma Pendidikan dan layak menjadi guru profesional.

"Usaha murni ini akan diperluaskan kepada 1,850 guru agama yang mengajar Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dan 250 di Tadika Agama Johor (TAJ).

"Bagi guru KAFA dan TAJ kita bercadang untuk beri latihan ikhtisas perguruan dalam Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) selama empat tahun," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Program Latihan Ikhtisas Pengurusan Guru-guru Sekolah Menengah Agama Johor, di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Elias, manakala Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) diwakili Rektornya, Dr. Haili Dolhan. Turut hadir Pengarah IPG Kampus Temenggung Ibrahim, Mohd. Said Hasran dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan JAIJ, Suliman Dumang.

Pada majlis itu, JAIJ menandatangani MoU dengan IPGM bagi membolehkan kumpulan guru agama terbabit menjalani latihan ikhtisas perguruan di IPG Temenggung Ibrahim.

Terdahulu, Haili dalam ucapannya menyifatkan kerjasama antara JAIJ dengan IPGM itu membuka lembaran dalam kerjasama bagi kedua-dua pihak di samping memberi kesan positif khususnya meningkatkan kelayakan akademik golongan guru agama di negeri ini.

Sumber:Utusan Online





Pelajar ‘berkampung’ di Felda Nitar 2


MERSING 20 Julai – Seramai 40 penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) dan pelajar daerah ini menyertai Khemah Kerja Pewaris Muda dan Kelab Setia Daerah Johor Bahru dan Mersing di Felda Nitar 2 di sini baru-baru ini.

Pegawai Penerangan Daerah Mersing, Jalal Mahat berkata, program selama tiga hari anjuran Jabatan Penerangan negeri bersama Pejabat Penerangan Daerah Mersing, Felda Nitar 2 dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Mersing itu bertujuan menanam semangat cintakan negara dan bersatu hati di kalangan generasi muda.

Menurutnya, dengan program menyatukan pelatih guru dan pelajar, para peserta dapat bertukar-tukar pendapat selain didedahkan dengan cara hidup bermasyarakat apabila tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Sementara itu, beberapa peserta mengakui program berkenaan banyak memberi motivasi dan kesan mendalam untuk menjadi lebih baik sekali gus segala kenangan manis bersama keluarga angkat kekal terpahat dalam memori mereka.

Seorang pelatih IPGKTI, Nurdayana Tajal Ariffin, 19, mengakui dapat mendisiplinkan diri dengan sentiasa bangun awal menyertai aktiviti keluarga angkat dan acara yang disusun sepanjang program berlangsung berbanding sering lewat bangun pagi sebelum ini.

“Saya bertekad untuk berubah dan berusaha memperbaiki diri pada masa akan datang. Program ini memberi kesan mendalam kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu angkatnya, Fatimah Abdul Rahman, 53, pula mengakui Nurdayana mudah untuk dididik kerana sentiasa berminat melakukan sesuatu perkara baru.

“Dia pada mulanya mengaku tidak pandai memasak namun apabila saya membawanya ke dapur, dia sudah minat untuk belajar memasak,” katanya.

Amalina Laili Ali, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing pula mengakui seronok kerana dapat belajar membuat kuih bersama ibu angkatnya itu.

“Saya tidak akan melupakan jasa serta kebaikannya dan akan membawa ilmu itu pulang ke rumah sambil mempraktikkannya nanti,” katanya bangga.

Nurafini Mohd. Mashudi, 21, pula gembira apabila dapat belajar memasak bersama ibu angkatnya.

“Selain itu, saya juga teruja bila ayah angkat membawa saya serta adik angkat berjalan-jalan di sekitar kebun dan kampung,” katanya.

Ibu angkatnya, Jamilah Dahlan, 54, bersyukur kerana Nurafini mendengar nasihat serta tunjuk ajarnya.

“Sebak rasanya apabila terpaksa berpisah,” katanya.

Majlis penutupan program tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, T. Murukasvari.

Beliau menasihati para pelajar supaya tidak terpengaruh dengan budaya liar dan bebas sebaliknya bermuafakat antara satu sama lain dan terus mengekalkan keharmonian yang dikecapi negara pada masa ini.




Sumber:Utusan Online